PENGENALAN KEPADA PPIK




Pengajaran bermaksud segala yang berkaitan dengan mengajar atau mengajarkan. Pembelajaran pula ialah suatu gerak balas kepada rangsangan-rangsangan yang membawa kepada satu perubahan. Menurut Shae (1994) dalam Juhazren Junaidi et.al (2005) pembelajaran ialah satu proses mental atau fizikal yang membawa kepada perubahan tingkah laku. Banyak pendapat para sarjana tentang maksud pengajaran berkesan. Pengajaran berkesan itu ialah pengajaran pakar dan cemerlang. Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen penting dalam memastikan pelajar dapat mengikuti isi kandungan subjek yang disampaikan (Muhd. Fauzi et.al.,2008). Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan (PPIK) atau Pedagogical Content Knowledge (PCK) adalah sejenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan PPIK merujuk kepada cara guru menyampaikan isi kandungan agar mudah difahami dan dapat menggalakkan kefahaman konseptual pelajar. Matematik ialah satu bidang ilmu yang melatih minda seseorang pelajar supaya dapat berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat matematik itu sendiri ialah menggalakkkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Subjek Matematik pula mempunyai keunikan yang tersendiri kerana Matematik memerlukan pembuktian yang kukuh, penguasaan simbol yang efisien dan jitu serta pertalian antara struktur-struktur matematik yang berkaitan.




Menurut Shulman (1987), PPIK ialah pengetahuan tentang cara bagaimana isi pelajaran boleh disampaikan kepada pelajar dengan berkesan dan memahami masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar, khususnya dalam isi pelajaran tersebut. Grossman (1990) pula berpendapat PPIK ialah pengetahuan tentang strategi dan penyampaian untuk pengajaran topik-topik dan pengetahuan tentang kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep dan kesilapan konsep yang dialami oleh pelajar berkenaan. Beliau juga berpendapat pengetahuan dan kepercayaan tentang tujuan pengajaran sesuatu topik dan pengetahuan tentang kurikulum dan bahan.PPIK boleh diperolehi dan diperkembangkan melalui empat kaedah iaitu pemerhatian dalam kelas, pendidikan formal, pengalaman mengajar dan kursus dalaman. Melalui pemerhatian, guru dapat mengamati sesuatu tingkah laku murid berpandukan pembolehubah-pembolehubah yang telah dikenal pasti. Pemerhatian dalam kelas penting khususnya apabila guru ingin mengkaji perkembangan tingkah laku sesuatu perkembangan murid di dalam kelas. Tetapi setiap pemerhatian mestilah mempunyai tujuan tertentu, dilakukan secara sistematik, mempunyai fokus dan mestilah dicatatkan secara rapi dan betul. Pemerhatian adalah satu kaedah memerhati, mencatat dan merekod peristiwa dan tingkah laku dalam bidang yang dikaji. Menurut Mohd. Majid (2000), dengan kaedah pemerhatian, pengkaji perlu mempunyai persepsi yang benar mengenai maklumat yang dikumpul.




PPIK sebagai satu model perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Norhasliza (2008), pengetahuan pedagogi ialah satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pedagogi dengan isi kandungan sesuatu disiplin atau apa yang perlu diajar. Pengetahuan pedagogi guru telah digunakan untuk menilai atau menentukan pengetahuan asas guru yang membezakan guru daripada seorang pakar bidang pengetahuan yang tidak mengajar (Abdul Rahim dan rakan-rakan,2000). Contohnya guru yang belajar matematik dan guru yamg belajar pendidikan matematik. Guru yang belajar matematik hanya didedahkan kepada isi kandungan dan tiada kemahiran mengajar yang dipelajari. Guru yang belajar pendidikan matematik telah mempelajari isi kandungan dan latihan mengajar. Terdapat beberapa cara untuk membina PPIK. Menurut Kartens (2004), mekanisme pembinaan PPIK termasuklah melalui kebijaksanaan pelaksananya iaitu guru menerusi pemerhatian sebagai seorang guru dan murid tentang karier mereka dalam satu jangka masa yang panjang seterusnya melalui kajian tentang situasi yang terkawal oleh penyelidik dalam bidang pendidikan.




Menurut Shulman (1987), proses pembinaan PPIK merangkumi enam aspek iaitu kefahaman, transformasi, pengajaran, penilaian, refleksi dan kefahaman baru. Kefahaman bermaksud seorang guru mestilah mempunyai kefahaman isi kandungan pelajaran dan muridnya. Transformasi pula bermaksud isi kandungan pelajaran yang difahami ditukarkan dalam bentuk yang boleh difahami oleh murid dengan menggunakan kaedah yang sesuai. Pengajaran ialah pengajaran melibatkan aspek pedagogi, organisasi, pengurusan bilik darjah, penerangan, huraian yang jelas, tugasan, motivasi dan sebagainya. Langkah yang keempat ialah penilaian. Guru boleh menjalankan penilaian secara formatif atau sumatif berdasarkan objektif dan hasil pembelajaran dikehendaki. Refleksi pula ialah melihat kembali pengajaran dan pembelajaran yang telah berlaku, membina semula, melakon semula dan mengingat semula peristiwa, emosi dan pencapaiannya. Akhir sekali, kefahaman baru ialah satu permulaan baru melalui langkah-langkah yang telah disebutkan iaitu kefahaman, transformasi, pengajaran, penilaian dan refleksi.